23 October 2017

Ibadah

IBADAH UMRAH DULU ATAU IBADAH HAJI DULU ?


Antara alasan yang saya terima apabila mengajak orang mengerjakan umrah :  


"Daripada buat umrah, lebih baik buat haji sekaligus", kata seorang kenalan. 


"Betul tu. Lagi pun umrah hukumnya sunat. Manakala haji hukumnya wajib. Antara sunat dan wajib, kena utamakan yang wajib" demikian hujah seorang sahabat sambil menghirup teh tarik 'kaw kaw'. 


Untuk makluman, hukum mengerjakan umrah bukanlah sunat tetapi adalah *WAJIB* sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan. 


Hukumnya sama seperti mengerjakan haji. 


Dalilnya ialah surah al-Baqarah ayat 196. 


"Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah". 


Mengerjakan umrah hanya sunat apabila dilakukan berulang kali berdasarkan hadis, 


"Dari satu umrah ke satu umrah adalah penghapus dosa di antara keduanya". (Muttafaq 'alaih) 


Memandangkan quota haji yang terhad, serta tempoh menunggu giliran yang lama (puluhan tahun) untuk menunaikan haji, maka digalakkan sesiapa yang berkemampuan untuk mengerjakan umrah terlebih dahulu. 


Lagi pun Rasulullah SAW sendiri melakukan umrah dahulu sebelum mengerjakan haji. Dalilnya, 


"Daripada 'Ikrimah ibn Khalid, beliau bertanya Ibnu 'Umar tentang mengerjakan umrah sebelum mengerjakan haji. Beliau menjawab : Tidak mengapa. 'Ikrimah menyambung lagi : Ibnu 'Umar telah berkata : Nabi SAW sendiri telah melakukan umrah sebelum Baginda SAW mengerjakan haji. (HR Bukhari) 


Justeru tuan puan yang sudah berkemampuan dan belum pernah ke tanah suci sedangkan tempoh giliran untuk mengerjakan haji masih lama lagi, eloklah mendaftar pergi mengerjakan umrah selagi mana sihat. 


Sekurang-kurangnya bila ajal menjemput., kita pernah menjejakkan kaki ke tanah suci...


Kredit kepada: Ustaz Tuan Haji Hisham AL Haj (Petugas Ibadah Haji bagi pihak Tabung Haji)


Wallahualam


Nota: kerinduan ini tetiba datang bertamu lagi untuk ke sana lagi ... moga ada peluang dijemput untuk menjadi Tetamu Allah ke sana jua suatu hari nanti ... InsyaAllah ... Aamiin


No comments:

Post a Comment